Satu kolaborasi kandungan oleh Multiply dan Bursa Malaysia

Hati-Hati Dengan Penipuan Pelaburan!

Sejak akhir-akhir ini, penipuan pelaburan semakin menjadi-jadi di Malaysia. Beberapa jenis penipuan pelaburan semakin kerap berlaku sejak tercetusnya pandemik Covid-19. Kawalan pergerakan yang dikenakan oleh kerajaan menyebabkan ramai orang hanya duduk di rumah, oleh itu bilangan orang yang ada masa untuk melakukan aktiviti di pasaran juga meningkat. Semakin ramai pelabur baru di pasaran saham yang mencari-cari nasihat pelaburan dalam talian. Jadi, penipu-penipu di luar sana ada lebih banyak peluang untuk mencari mangsa.

Kebanyakan penipuan pelaburan menjanjikan pulangan tinggi kepada bakal pelabur dengan risiko yang rendah atau tanpa risiko langsung. Kadar faedah yang rendah buat masa ini menyebabkan pelabur lebih mudah tertipu akibat meletakkan harapan yang terlalu tinggi dan tidak realistik tentang kadar pulangan yang boleh mereka nikmati.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), penipuan pelaburan melibatkan:

  • Mereka yang mengakui diri mereka berurus niaga, menguruskan dan memberi nasihat tentang pelaburan tanpa dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti
  • Mereka yang mengendalikan platform pelaburan, seperti bursa aset digital (Digital Asset Exchange, DAX) tanpa mendapat kebenaran
  • Mereka yang menerbitkan atau menawarkan sekuriti tanpa kelulusan, kebenaran atau pengiktirafan
  • Mereka yang menyalahgunakan nama dan logo Suruhanjaya Sekuriti

Jenis-jenis penipuan pelaburan yang selalu dijumpai

  1. Skim cepat kaya di media sosial

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan pelaburan dalam talian yang tidak sah di platform media sosial yang dikenali dengan nama ‘Like and Share’, ‘Queqiabao’, ‘Test Fight’, ’Zan Zan Le’ dan ‘Isharefans’.

    Modus operandi penipuan:

    Mangsa melihat iklan dalam platform media sosial dan diberikan nombor telefon untuk dihubungi melalui WhatsApp. Satu pautan diberi kepada mangsa untuk memuat turun satu aplikasi e-wallet secara percuma dan seterusnya membolehkan pembelian ‘pakej’ dengan harga bermula daripada RM99 hingga RM9,999. Mangsa diminta mengisi maklumat nombor telefon dan nombor akaun bank mereka.

    Mangsa dikehendaki untuk “like” dan “kongsi” kiriman media sosial sebagai cara untuk menjana pendapatan. Mereka diberitahu akan mendapat bayaran sekiranya menekan butang like dan berkongsi kiriman sehingga bilangan tertentu setiap hari. Susulan daripada itu, mangsa ditawarkan lebih banyak tugasan sebagai cara untuk menjana wang, contohnya dengan menjual ‘pakej’ pelaburan. Wang yang dibelanjakan oleh mereka akan dihantar ke akaun sang penipu.

    Jumlah pendapatan yang dapat dikumpul oleh mangsa akan terpapar dalam akaunnya di aplikasi e-wallet. Mangsa hanya mendapat tahu bahawa mereka telah ditipu apabila mereka cuba untuk mengeluarkan wang tersebut , tapi tak dapat berbuat demikian.

  2. Penipuan firma klon

    Nasihat pelaburan palsu diberikan melalui platform dalam talian, kebanyakannya melalui Facebook dan WhatsApp.

    Modus operandi penipuan:

    Penipu and syarikat tanpa lesen memberikan nasihat pelaburan atau menjalankan aktiviti-aktiviti pasaran modal. Mereka menyalahgunakan nama-nama broker dalam talian yang dikenali ramai, seperti Rakuten, syarikat tersenarai awam, Bursa Malaysia atau logo dan nama Suruhanjaya Sekuriti. Mereka memujuk mangsa untuk melaburkan wang, tapi mangsa tak akan dapat semula wang mereka mahupun sebarang keuntungan.

  3. Bursa Aset Digital (DAX) yang Tidak Mendapat Kelulusan

    Penipu mengendalikan DAX untuk membolehkan dagangan matawang krypto dijalankan dalam kalangan mangsa. Walaupun ada pengendali DAX yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, ada pihak lain yang mendakwa bahawa mereka mengendalikan aktiviti dagangan yang selamat, dikawal selia serta dilesenkan oleh “pihak berkuasa Malaysia” walaupun sebenarnya mereka tidak dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Ini boleh mengelirukan mangsa.

    Modus operandi penipuan:

    Penipu berpura-pura menjual matawang krypto kepada mangsa dalam DAX. Tapi apabila mangsa mendapat keuntungan, mereka tak dapat mengeluarkan wang tersebut daripada akaun mereka.

    Jenis DAX yang terlibat dalam penipuan ini termasuk ATM krypto. ATM krypto adalah mesin yang membolehkan pelabur membeli dan/atau menjual aset digital seperti bitcoin dan Ethereum menggunakan tunai, kad debit/kredit atau e-wallet. Mesin ATM krypto ada dipasang di beberapa lokasi di Malaysia, tapi Suruhanjaya Sekuriti belum lagi memberikan kebenaran kepada mana-mana entiti untuk mengendalikan ATM Krypto.

Apa yang anda perlu tahu

  • Tak ada apa yang percuma dalam dunia ini. Anda perlu berwaspada jika ada pihak yang mempromosikan pelaburan yang menjanjikan pulangan terlalu tinggi (apa-apa kadar pulangan melebihi 10% memang amat mencurigakan) untuk pelaburan yang berisiko ‘rendah’.
  • Mereka yang telah menjadi mangsa penipuan dan mangsa pengubahan wang haram di platform tidak berlesen mungkin tidak akan dapat mengambil apa-apa tindakan undang-undang kerana penipu sudah tidak dapat dikesan.
  • Sebelum membuat keputusan untuk melabur, semak maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai seperti:
  • Gunakan senarai pelaburan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk mencari sang penipu.
  • Hanya melakukan jual-beli dengan pengendali pasaran yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
    • Untuk kes matawang krypto, Bank Negara Malaysia tidak mengiktiraf matawang krypto sebagai wang sah (legal tender), oleh itu tidak terdapat undang-undang untuk melindungi pemegang matawang krypto di Malaysia.
  • Memberikan nasihat pelaburan tanpa memiliki lesen daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia merupakan satu kesalahan, tak kisah sama ada nasihat diberikan secara rasmi dalam bentuk laporan analisis ataupun melalui platform media sosial.
  • Mengendalikan sebuah DAX tanpa kebenaran daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia juga satu kesalahan di Malaysia.
    • Sila ambil maklum bahawacuma ada 3 Pengendali Pasaran Yang Diiktiraf (Recognised Market Operators, RMO) yang diberi lesen oleh Suruhanjaya Sekuriti untuk mengendalikan DAX, iaitu Luno Malaysia Sdn Bhd, SINEGY Technologies (M) Sdn Bhd, dan Tokenize Technology (M) Sdn Bhd.

Apa yang boleh anda lakukan jika anda dapati ada sesuatu yang meragukan?

Jika anda ada ternampak laman web yang meragukan, menerima panggilan telefon yang tidak diundang, atau menerima e-mel, pesanan dan promosi di platform media sosial yang menawarkan nasihat dan peluang pelaburan, anda boleh maklumkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Bank Negara Malaysia (BNM). Anda patut berhati-hati terutamanya jika pelaburan yang dipromosi menawarkan pulangan yang tinggi dengan pengambilan risiko yang sedikit atau tiada risiko langsung!

Jika anda rasa anda telah terjumpa satu penipuan pelaburan, anda boleh hubungi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di [email protected] atau 03-6204 8999.

Anda juga boleh membuat panggilan kepada BNM Fraud Alert di 1-300-88-5465 atau hantarkan e-mel kepada mereka di [email protected].