Satu kerjasama kandungan Multiply bersama Bursa Malaysia

Mungkinkah ETF Pelaburan Yang Tepat Untuk Anda?

Anda pernah terfikir untuk melabur dalam saham tapi tak pasti di mana nak mula? Terdapat 900 buah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, jadi anda mungkin tak tahu nak melabur dalam saham syarikat yang mana satu. Melabur dalam saham boleh jadi agak menakutkan kerana ia membawa risiko yang lebih tinggi berbanding dengan pelaburan lain seperti deposit tetap.

Tapi anda tak semestinya perlu memilih saham satu syarikat sahaja. Sebaliknya, anda boleh melabur dalam banyak syarikat pada masa yang sama melalui Dana Dagangan Bursa (atau dikenali sebagai ETF).

Apakah itu ETF?

Anda boleh baca panduan kami untuk lebih memahami asas ETF. Secara umum, ETF ialah sekumpulan saham yang dihimpunkan untuk membentuk sebuah dana. Indeks yang dijejak oleh suatu ETF dipanggil indeks pendasar yang terdiri daripada himpunan sekuriti seperti saham, bon, komoditi seperti emas atau niagaan hadapan seperti niagaan hadapan minyak sawit dan indeks hadapan.

Contohnya, ETF FTSE Bursa Malaysia KLCI menjejak FBM KLCI. FBM KLCI ialah indeks utama bursa saham yang mengukur prestasi 30 syarikat terbesar di Bursa Malaysia. Indeks ini memberikan gambaran am tentang prestasi bursa saham di Malaysia. Dengan melabur dalam ETF, anda sebenarnya melabur dalam beberapa syarikat terbesar di Malaysia sekaligus, di samping mendapat pendedahan terhadap prestasi keseluruhan pasaran saham.

Kelebihan dan kekurangan ETF

Satu kelebihan ETF ialah anda dapat mempelbagaikan risiko anda dengan melabur dalam saham pelbagai syarikat, bukan saham satu syarikat saja.

Kepelbagaian yang diperoleh apabila melabur dalam sekumpulan sekuriti menjadikan ETF serupa dengan unit amanah. Tapi ETF dikenali sebagai pilihan yang melibatkan fi yang lebih rendah berbanding dengan unit amanah. Ini kerana anda tak perlu membayar pengurus dana untuk menguruskan pelaburan anda secara aktif dan tiada caj jualan ejen yang dikenakan.

Serupa dengan pembelian saham, komisyen pembelian ETF bermula serendah 0.1%. Di samping itu, anda mungkin juga perlu membayar fi pengurusan sehingga 1%.

Sebagai perbandingan, caj jualan pendahuluan untuk unit amanah boleh mencecah 5% daripada pelaburan anda dan fi pengurusan unit amanah pula selalunya dalam kadar 1-3%.

Walaupun melabur dalam ETF lebih murah berbanding unit amanah, anda perlu membayar sekurang-kurangnya RM7 sebagai fi broker setiap kali anda membuat transaksi ETF. Jadi, kalau anda bercadang nak melabur beberapa kali dengan jumlah yang sedikit setiap kali, sebenarnya cara ini akan menyebabkan anda membayar lebih banyak fi dalam jangka masa panjang.

Contohnya, katakan fi broker ialah RM8 dan anda mahu melaburkan RM100. Kos pendahuluan ialah RM8/RM100 x 100 = 8%. Sebagai perbandingan, kos pendahuluan melabur dalam unit amanah selalunya sekitar 6%.

Tapi jika anda melaburkan RM1,000, dan membayar fi broker sebanyak RM8, kos pendahuluan anda hanya 0.8%. Ini nilai yang lebih baik untuk pelaburan anda. Mengikut kebiasaan, pelabur dinasihatkan untuk melabur sekurang-kurangnya RM700 setiap kali membuat pelaburan dalam ETF, supaya kos broker pendahuluan kekal antara 1%-2%, bergantung kepada fi broker yang anda perlu bayar. Jangan lupa semak dengan broker anda tentang semua fi yang anda perlu bayar supaya anda tahu berapa sebenarnya kos keseluruhan pelaburan anda.

Mengenali ETF dengan lebih dekat

Untuk mempelajari topik ini dengan lebih mendalam, cuba semak Maklumat Bursa Malaysia tentang ETF dan kesemua 19 ETF yang tersenarai di bursa saham. Anda boleh juga baca kajian tentang ETF.

Bursa Malaysia kini memberi peluang kepada 500 orang pelabur terawal yang melabur sebanyak RM3,000 atau lebih dalam ETF (dari sekarang sehingga 31 Disember 2020) untuk memenangi tambah nilai e-dompet Touch ‘n Go bernilai RM150. Anda tak perlu melaburkan RM3,000 sekaligus dan anda boleh melabur dalam lebih daripada satu ETF. Anda boleh baca lebih lanjut tentang kempen ini di sini.

Kalau anda sudah bersedia untuk melabur dalam ETF, anda mesti buka satu akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) dan satu akaun dagangan yang diuruskan oleh broker. Selepas itu, anda bolehlah membeli atau menjual ETF melalui broker anda, remisier anda atau secara dalam talian. Anda boleh baca lagi tentang pembukaan akaun broker dan akaun CDS di sini .

Jika anda mahu belajar lagi tentang ETF, sila baca panduan kami tentang bagaimana memilih ETF untuk dibeli (jangan lupa tonton video menarik kami!) dan enam perkara yang anda patut tahu apabila melabur dalam ETF.